Saturday, December 29, 2018

TERHIBUR MENYEMBAH TUHAN

TERHIBUR MENYEMBAH TUHAN

Orang yang bertaqwa menunggu ibadah,
daripada satu ibadah itu kegembiraan.
Yang hendak ditunggu itu ialah cinta agungnya, iaitu Tuhan Penciptanya.
Agar dari satu waktu ke satu waktu hendak disembah dan disanjung.
Alangkah terhiburnya memuja dan menyembah idolanya yang dirinduinya.
Menunggu cinta dari satu waktu ke satu waktu, sangat ditunggu-tunggu.
Tidak sabar, rasa hendak menyembah dan memuja-Nya.
Kerana di dalam penyembahan itu, dia dapat bercakap-cakap dengan Tuhannya.
Meminta, mengadu, bermesra dan bermanja-manja.
Banyak persoalan hidup yang perlu diberitahu.
Agar Tuhan selesaikan segala yang terbuku.
Banyak perkara yang merbahaya, minta dilindungi.
Yang sedang terjadi, minta diungkaikan.
Di masa hadapan, pinta pimpinan.
Yang tidak tahu baik buruknya, minta dijelaskan.
Orang mukmin, sungguh penting Tuhan itu di dalam kehidupannya.
Kerana itulah ibadah, munajat, berdoa, sesuatu yang didulukan.
Di sanalah segala persoalan dirafa’kan kepada Tuhan.
Mereka merasakan tanpa Tuhan, tidak boleh hidup.
Kepada mereka, Tuhan sangat diperlukan.

Menjelang tidur
17 - 10 - 1999

(Sajak Abuya Ashaari Muhammad)

Share:

0 comments:

Post a Comment