Saturday, December 29, 2018

SIKAP SEORANG HAMBA

SIKAP SEORANG HAMBA

Seorang hamba menyembah Allah Taala, tanda dia hamba.
Hamba patut memperhambakan diri kepada-Nya.
Seorang hamba meminta dan memohon
kepada Tuhan kerana lemah.
Dan bukti dia lemah, perlu meminta dan mengadu kepada Tuhan Yang Maha Kaya dan Berkuasa.
Disuruh sabar, kerana itulah mujahadah kerana inginkan keredhaan Allah.
Disuruh redha, kerana inginkan baik sangka kepada-Nya.
Jahat sangka tidak patut bagi seorang hamba.
Melupakan apa sahaja ujian dari Allah.
Ini adalah darjat yang paling tinggi, selain nabi dan rasul.
Disuruh bertawakal, agar menyerahkan nasib kepada Tuhan yang Maha Tahu dan Maha Berhikmah.
Di samping hati lapang dan tenang.
Keluh-kesah adalah dilarang.
Disuruh berkasih sayang, kerana Tuhan itu
kasih sayang dengan hamba-hamba-Nya.
Sedangkan Tuhan boleh kasih kepada hamba-hamba-Nya.
Mengapa kita tidak boleh memberi kasih sayang sesama hamba.
Kita disuruh pemurah sesama makhluk Allah.
Bukankah Allah pemurah dengan kita setiap masa.
Disuruh takut kepada Allah, itulah perisai kita.
Di samping nasib kita di tangan-Nya.
Tidak tahu bagaimana kesudahannya.
Nasib kita ibarat telur di hujung tanduk.
Mudah sahaja tergelincir jatuh.
Ingatlah, rahmat Allah kepada kita banyak salurannya.
Agar tindakan kita ada perimbangan antara harap dengan takut.

Selepas Zuhur
25 - 10 - 1999

(Sajak Abuya Ashaari Muhammad)

Share:

0 comments:

Post a Comment